Archive for the ‘Perkembangan Pendidikan di Brunei 1954-1984’ Category

KANDUNGAN;

  1. PENDAHULUAN.
  2. PERKEMBANGAN PENDIDIKAN  SEBELUM PEMERINTAHAN BRITISH
  3. PERKEMBANGAN  PENDIDIKAN  SEMASA  PENTADBIRAN  RESIDEN
  4. PERKEMBANGAN DASAR PENDIDIKAN UGAMA ISLAM DI BRUNEI
  5. SEKOLAH  MELAYU
  6. SEKOLAH  CINA
  7. SEKOLAH INGGERIS
  8. SITUASI PENDIDIKAN SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA.
  9. PERKEMBANGAN PENDIDIKAN 1954
  10. DASAR PERKEMBANGAN PENDIDIKAN 1962
  11. PERKEMBANGAN DASAR PENDIDIKAN 1972
  12. KEGAGALAN DASAR PENDIDIKAN NEGARA 1962 DAN DASAR PENDIDIKAN 1972- 19
  13. DASAR PENDIDIKAN DWI BAHASA
  14. KONSEP DWIBAHASA
  15. KESIMPULAN
  16. LAMPIRAN   

PERKEMBANGAN DASAR PENDIDIKAN 1954 -1985 : SATU TINJAUAN

PENDAHULUAN.

Pendidikan memainkan peranan bagi kecemerlangan sesebuah negara  untuk membangun. Oleh itu Brunei tidak terkecuali bagi proses kearah pembangunan dan meninggi tarafkan kedudukan negara ke  mata dunia. Sejarah perkembangan dasar pendidikan banyak memberi kesedaran kepada kita bahawa Dasar pendidikan yang dilaksanakan itu mengharungi rintangan-rintangan yang patut dinilai semula oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan bidang pendidikan samaada dari golongan bertaraf atasan maupun yang baru terlibat dalam bidang pendidikan. Kerana jika seseorang yang berkenaan itu dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada apa yang telah berlaku tentang perkembangan dasar pendidikan negara ini sudah pasti tidak akan mudah tersilap hingga ke hari ini.

Dalam essei ini akan merungkap beberapa perkembangan dasar pendidikan di Brunei bermula dari peranan Pehak Residen dalam perkembangan dan sistem pendidikan di Brunei. Mengapakah Pehak Residen yang tidak mahu pendidikan di negara ini berkembang seperti yang diharapkan oleh masyarakat di awal penubuhan pendidikan secara formal ? Sejauh manakah perkembangan dasar pendidikan di Brunei, di mana sering berlakunya pembaharuan hingga ke hari ini ? Mengapa dasar pendidikan itu membawa kegagalan sehingga membawa ke dasar pendidikan semasa kemerdekaan iaitu pada tahun 1984 ? ( sila lihat Lampiran 6 )

Dalam essei ini akan menjelaskan terlebih dahulu perkembangan dasar pendidikan di zaman sebelum,smasa dan selepas pentadbiran Residen dan sekolah-sekolah yang dibina hingga ke tahun 1954, iaitu bermulanya Dasar Pendidikan 1954 dan peranan sekolah-sekolah yang dibina itu terhadap masyarakat di Brunei.

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN  SEBELUM PEMERINTAHAN BRITISH

Sebelum mengulas tentang perkembangan pendidikan Brunei pada 1954 hingga 1984, perlu di ketehui juga asas perkembangan  pendidikan di Brunei adalah lebih awal daripada yang dijangkakan, di mana, pendidikan Islam mula berlaku adalah serentak dengan kedatangan Islam di Negara Brunei Darussalam pada abad ke 13 Masehi ( Pg Hj Mohammad bin Pg. Hj Abd Rahman, Dr., 2005 : 12 ). Sehubungan dengan dengan  itu, telah  terbukti apabila artifek sejarah terbaru yang ditemui dalam tahun 1972,  iaitu penemuan oleh Muzium Brunei yang menemui sebuah batu nisan di perkuburan orang Islam di Rangas. Di mana sebuah batu nisan itu dipercayai kepunyaan oleh seorang pegawai kanan dalam zaman pemerintahan Chun Yu, yang di utus ke Puni ( Brunei) yang meninggal dalam tahun 1264 M ( Hj Zaini Hj Ahmad Dr. , 2003 : 23 ).

Dengan bukti ini menunjukkan bahawa Islam telah bertapak lebih awal, dan secara lojiknya pendidikan yang berunsurkan agama Islam  sudah diterapkan kepada penduduknya ketika itu dan dikalangan masyarakatnya sudah pandai menulis sehingga berkemahiran untuk mencatatkan  penulisan ke atas batu nisan.Oleh yang demikian, seperti yang dimaklumi bahawa sebagai seorang yang mengakui ia Islam, adalah satu kewajiban bagi seorang Muslim bahawa  untuk menjalankan kewajiban ibadah dan mengukuhkan akidah mestilah ada ilmu pengetahuan ugama.

Pendidikan pada ketika itu secara tidak resminya dijalankan menerusi rumah-rumah, masjid-masjid dan surau-surau  dan tidak juga ketinggalan dijalankan di istana. Manakala sejarah pendidikan di Brunei tidak di catatkan adanya institusi pengajian pondok seperti yang wujud di tempat lain di Nusantara dan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, pada peringkat awal ini matlamat pendidikan ialah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan fardhu ain bagi membentuk keperibadian Muslim yang sempurna. Tenaga pengajarnya pula terdiri daripada mubaligh-mubaligh, pedagang-pedagang Islam, Imam-Imam, Pembesar-pembesar negara dan orang-orang alim setempat ketika itu.

Adapun kurikulumnya meliputi persoalan aqidah dan perkara-perkara ibadat serta membaca Al Quran sahaja. Manakala struktur pengajiannya tidaklah berjalan secara terbuka tanpa ada peraturan dan garis pandu yang tertentu.

PERKEMBANGAN  PENDIDIKAN  SEMASA  PENTADBIRAN  RESIDEN

Sistem Residen mula bertapak di Brunei pada tahun 1906, iaitu selepas termeterinya Perjanjian Perlindungan dengan pihak British pada 3 Disember, 1905 dan 2 Januari 1906. Sebaik sahaja Brunei di bawah pentadbiran Residen, negara ini mengalami berbagai perubahan baik dari segi sosial, ekonomi, pentadbiran maupun pendidikan.

Namun sistem pendidikan tidak diperkenalkan secara mendadak kerana kerajaan Residen terpaksa memulihkan sistem pentadbiran yang telah mengalami berbagai rintangan itu terlebih dahulu. Proses ini mengambil masa selama lebih kurang lima ke enam tahun. Ini bersandarkan kenyataan Jatswan S.Sidu yang mana ura-ura melahirkan satu sistem pendidikan ala Barat hanya terlaksana pada tahun 1911.( Jatswan S. Sidhu, 1995 : 12 ).

Oleh itu, pada peringkat awal sistem pendidikan diperkenalkan adalah untuk mengisikan kekurangan kakitangan kerajaan ketika itu, seperti yang dikatakan oleh Residen Inggeris pada tahun 1912 dalam laporan tahunan beliau, bahawa belum terdapat dikalangan penduduk yang tahu membaca dan menulis.

Ini bererti penduduknya belum pandai membaca dan menulis dalam huruf rumi kerana sebelum sistem Residen diperkenalkan, telah sedia wujud golongan penduduk tempatan yang tahu membaca dan menulis dalam huruf jawi.(  Sabihah Osman, 1995, : 61 )

Ia ditambah lagi dengan laporan Residen British (1916 – 1921 ) yang mengatakan

“ … these do not aim at providing a high standard of education. They do, however provide the children with elementary training and also teach them discipline, punctuality and personal cleanliness…” ( Hj Jamil Al Sufri, 1999 : 14 )

Jadi dengan itu jelas menunjukkan bahawa tujuan pihak British mengadakan bukanlah untuk mencapai kemajuan pendidikan yang lebih tinggi lagi bagi masa depan penduduk tempatan. Di mana, pihak Residen British memberikan pendidikan kepada rakyat Brunei dengan tidak memberikan pendidikan ke taraf yang tinggi.

Oleh itu, mereka hanya mendedahkan dan memberikan bidang pendidikan kepada penuntut-penuntut di Brunei,  hanyalah sakadar untuk kepentingan asas sahaja dan bukan untuk mencapai kemajuan pendidikan yang lebih tinggi lagi bagi masa depan penduduk tempatan. Sebelum ini kebanyakan penduduk Brunei pada masa itu ada yang sudah pandai membaca dan menulis di dalam tulisan Jawi.

Dari hal demikian pada tahun 1914, bermulalah sistem pendidikan secara formal dimana sekolah-sekolah didirikan termasuklah sekolah-sekolah yang akan diperjelaskan  lebih terperinci lagi nanti, iaitu seperti sekolah misi, Melayu, Cina dan Inggeris.

Walaupun pendidikan formal sudah mula diperkenalkan di Brunei pada tahun 1914, namun kerajaan tidak pernah mengeluarkan secara rasmi dasar pendidikan yang dijalankan di Brunei sehingga tahun 1953. Ini mungkin disebabkan pihak British yang menguasai pendtadbiran Kerajaan ketika itu tidak begitu mengambil berat tentang perkembangan pendidikan di Brunei.

Justeru, bidang pendidikan di anggap kurang penting berbanding dengan bidang-bidang lain seperti perdagangan, perindustrian, pertanian dan sebagainya, yang lebih menguntungkan. Sedangkan dalam proses pendidikan, satu dasar yang perlu diwujudkan dan dirancang bagi menentukan arah dan tujuan sebenar pendidikan negara, agar ia sesuai dengan arus perkembangan ekonomi dan sosial yang dialami oleh sesebuah negara itu.

Pendidikan di Brunei pada tahun-tahun sebelum 1960-an adalah  mundur. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh pentadbiran Residen British yang secara umumnya tidak pernah mengambil perhatian yang berat terhadap pelajaran anak-anak tempatan.( Razali Hj Ahmad, 1999 : 304).

Kegagalan pentadbiran Residen untuk menyediakan satu sistem pelajaran adalah tidak dapat diterima kerana selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu Brunei mempunyai lebihan perbelanjaan yang agak besar. Ianya tidak menjadi masalah jika sekiranya pihak Residen benar-benar ingin memajukan anak-anak tempatan.( Razali Hj Ahmad, 1999 : 305)

Berdasarkan kepada perkembangan pelajaran dan dasar pelajaran yang diterima dalam zaman Residen, sedikit sebanyak  telah memberikan kesan yang jelas kepada perkembangan sosio ekonomi di Brunei sehingga tahun-tahun 1960-an.

 

Melihat daripada dasar-dasar yang dijalankan di atas, adalah tidak dinafikan bahawa kemunduran penyertaan penduduk-penduduk tempatan dalam perkembangan sosioekonomi adalah berpunca daripada ketidak sesuaian dasar pelajaran yang mereka terima.

Walau bagaimanapun kelemahan-kelemahan ini tidaklah sepenuhnya disebabkan oleh kelemahan dasar pelajaran yang dijalankan oleh pentadbiran Residen sahaja, tetapi masyarakat pada masa itu  dalam menerima sistem pelajaran ala barat pada peringkat awalnya tidak meyakinkan mereka.

Ramai berpendapat pelajaran barat hanya akan membuka jalan bagi orang-orang barat untuk ‘mengkristiankan’ anak-anak mereka. Bagi mereka istilah barat itu berkait rapat dengan ugama Kristian.

Oleh itu masalah-masalah  tadi, telah menambahkan lagi ketidak seriusan pentadbiran Residen dalam menangani serta menyesuaikan dasar atau perkembangan pendidikan yang dapat memberikan galakan untuk anak-anak tempatan dalam memajukan dan menyertai perkembangan sosioekonomi Brunei sehingga tahun 1950-an.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PERKEMBANGAN DASAR PENDIDIKAN UGAMA ISLAM DI BRUNEI

Pendidikan Ugama Islam telah diperkenalkan di Brunei sejak abad ke – 14, iaitu oleh mubaligh-mubaligh dan juga orang-orang tempatan melalui masjid-masjid, balai-balai dan rumah-rumah persendirian. ( Hj Abd. Ghani Hj.Bujang , 1999 : 356 )

Pelajaran ugama sebagai satu mata pelajaran mula diperkenalkan di sekolah rendah dalam tahun 1930-an iaitu apabila sistem pendidikan persekolahan  secara teratur diperkenalkan. Walau bagaimanapun persekolahan ugama secara penuh dan bersistem bermula dalam tahun 1956, Kewujudan sistem persekolahan Ugama khas ini adalah atas titah perintah perkenan Allahyarham Sultan Omar Ali Saifuddin III iaitu setelah mendapat laporan dan syor berikutan terdapat kelemahan murid-murid di beberapa sekolah Melayu dalam pendidikan Ugama.

Laporan tersebut menyatakan dua yang utama iaitu pertama, kebanyakan murid tidak tahu rukun Islam sementara kedua, masa belajar ugama terlalu pendek dan guru-guru mengajar itu bukan keluaran dari sekolah ugama dan tidak pandai menjalankan tugas menurut peraturan sekolah.

Oleh yang  demikian pendidikan persekolahan ugama secara penuh dan bersistem telah ditubuhkan dengan menggunakan bangunan Sekolah-sekolah Kerajaan Melayu dan Inggeris.

Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah agensi resmi kerajaan yang bertanggungjawap sepenuhnya dalam hal ehwal ugama termasuklah pelaksanaan pendidikan Islam di negara Brunei Darussalam. Manakala Jabatan Pengajian Islam adalah jabatan khusus yang mentadbir dan memantau perjalanan pendidikan Islam tersebut.

Dalam tahun 1966, Sekolah Arab pertama ditubuhkan iaitu Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah dan berikutnya dalam tahun 1967 Sekolah Menengah Arab Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit pula ditubuhkan.

Dengan kemunculan sekolah ugama dan sekolah Arab, ternyata kedua-dua jenis sekolah ini telah dapat memenuhi sebahagian daripada ciri-ciri yang dikehendaki oleh Dasar Pendidikan Negara 1962 ( yang akan diperjelaskan lebih lanjut lagi) dan Dasar Pendidikan Negara 1972 dari segi penerapan  nilai-nilai ugama. Walau bagaimanapun kedua-dua sekolah ini tidak memberikan kesan yang besar terhadap perkembangan Dasar pendidikan pada ketika itu.

Kemudian dalam tahun 1972, muncul pula Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan dengan tujuan untuk membekalkan guru-guru ugama bagi kegunaan Sekolah-sekolah Rendah Ugama. Dalam pertengahan tahun 1970-an, bangunan kekal khas untuk persekolahan rendah ugama mula dibangunkan untuk menampung pertambahan murid-murid. Perkembangan institusi pengajian ugama terus meningkat lewat 1980-an seperti Ma’had Islam Brunei.

SEKOLAH  MELAYU

Sebelum menerangkan Dasar dan perkembangan lebih lanjut, ada lebih elok diperjelaskan dahulu perkembangan Sekolah Melayu dan secara tidak langsung menjadi dasar dalam pendidikan negara seperti yang telah janjikan untuk diperjelaskan lebih lanjut lagi di dalam essei  ini.

Sekolah Melayu pertama ditubuhkan di Bandar Seri Begawan pada tahun 1914. Keramaian pelajar sebanyak 30 orang dan bertambah kepada 40 orang pelajar setahun berikutnya. Kesemua pelajar ini terdiri daripada pelajar lelaki.

Disebabkan oleh sambutan  yang kurang menggalakkan dimana kedatangan yang tidak menentu, pihak kerajaan kurang mengambil perhatian serius untuk memperkembangkan sistem persekolahan Melayu.

Hal ini mungkin disebabkan pihak ibu bapa yang belum dapat menerima perubahan ini. Tambahan lagi, sistem persekolahan yang diperkenalkan ialah sistem pendidikan ala Barat ,oleh itu mereka takut akan terpengaruh dengan agama Kristian. ( Sabihah Osman, 1995 : 64 ).

Dalam pada itu, pada tahun 1915, sebuah sekolah Melayu didirikan di Muara oleh seorang guru di rumahnya dengan keramaian pelajar lelaki sebanyak 40 orang. Dua tahun berikutnya, sekolah Melayu ketiga didirikan di Belait. Menjelang tahun 1918 sebuah lagi sekolah Melayu didirikan dengan jumlah pelajar seramai 175 orang dan kesemuanya lelaki.

Oleh kerana Brunei belum mempunyai maktab latihan perguruan sendiri, bagi mendapatkan guru terlatih, pada 1924, beberapa orang calon guru dihantar ke Maktab perguruan Sultan Idris ( MPSI ) Tanjung Malim, Perak.

Manakala pada tahun 1925, masyarakat kedayan meminta di Kilanas untuk didirikan sebuah sekolah dan ianya mula beroperasi pada tahun 1926. Bagi mewujudkan kesungguhan belajar dikalangan penuntut dalam tahun 1929 satu enakmen kehadiran di sekolah diluluskan. Sehingga tahun 1932 enakmen ini hanya berkuatkuasa di Bandar dan setahun berikutnya baharulah diperluluskan ke Kuala Belait.

Seterusnya dalam tahun 1930, sebuah sekolah perempuan pertama dibuka di Bandar Brunei. Sekolah ini sekarang dikenali sebagai Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah. Satu-satunya sekolah perempuan pertama ini terpaksa ditutup apabila pengetuanya meninggalkan Brunei.

Sekolah itu akhirnya dibuka semula pada tahun 1932 di bawah seorang guru wanita berbangsa Melayu dengan keramaian pelajar seramai 13 orang, tetapi ditutup lagi pada tahun hadapannya kerana kekurangan penuntut yang hadir disebabkan ibu bapa yang enggan menghantar anak perempuan mereka ke sekolah.

Sejurus selepas itu pada tahun 1936, Sekolah Melayu ditubuhkan di Kuala Belait. Seramai 10 orang penuntut perempuan hadir belajar bersama pelajar lelaki yang lainnya. Menjelang tahun 1937, jumlah ini bertambah kepada 42 orang dan menjadi 48 orang dan menjadi 48 orang pada tahun 1938.

Pada tahun yang sama juga sebuah kelas khas bagi pelajar perempuan juga telah dimulakan di sekolah Melayu Jalam Sultan, di Bandar Brunei dengan keramaian pelajar 74 orang termasuk anakanda baginda Sultan.

Adapun dasar dan perkembangan sekolah Melayu pada selepas itu, iaitu berbalik pada tajuk asal bahawa dalam Dasar Pendidikan 1954, bahasa Melayu tidak menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Brunei. Walau bagaimanapun, pihak British telah berjanji bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah akan dilaksanakan secepat mungkin dan penggunaan bahasa Inggeris akan dikurangkan.

Sehubungan dengan itu, British beralasan bahawa ia tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana bahasa Inggeris ialah bahasa penting dan banyak ilmu pengetahuan boleh didapati dalam bahasa ini.

Di samping itu, ia digunakan secara meluas di seluruh dunia. Jadi untuk memberikan pengetahuan yang  tinggi kepada anak-anak Brunei, maka penggunaan bahasa Inggeris adalah perlu. Sebarang usaha untuk menghapuskan bahasa Inggeris dalam pendidikan Brunei hanya akan menggagalkan rancangan untuk memberikan anak-anak Brunei berilmu pengetahuan.

Kekurangan buku-buku teks dalam bahasa Melayu juga menjadi penghalamg kepada penggunaan bahasa ini sebagai bahasa pengantar, lebih-lebih lagi dalam bidang teknikal dan peringkat pengajian tinggi. Brunei juga adalah di bawah naungan British, jadi penggunaan bahasa Inggeris adalah penting dari segi perhubungan dengan British yang menggunakan bahasa ini ( Bevington, 1983 : 120-121)

Biarpun pihak British telah bersetuju untuk meninggikan taraf sekolah pandai membaca dan menulis di sekolah-sekolah Melayu, ternyata terus diwujudkan dalam Dasar Pendidikan 1954. Dasar ini jelas, satu dasar penyekatan  dan menekan terhadap persekolahan Melayu.

Hal ini boleh dilihat apabila taraf tertinggi sekolah Melayu cuma setakat darjah VI dan kurikulumnya banyak menjuruskan kepada  mata pelajaran perkebunan dan kraft tangan. Namun begitu, penyekatan bukan saja terhadap sekolah Melayu, tapi  juga terhadap sekolah Inggeris Kerajaan. Dasar ini boleh di lihat dari segi sistem pelajaran yang bercampur baur antara mata pelajaran akademik dengan mata pelajaran teknikal dan vokasional.

Pendeknya, Pihak British khuatir dasar pendidikan pada masa itu apabila kemunculan golongan terpelajar di kalangan anak-anak  tempatan sudah pasti akan menggugat kedudukan pegawai British sebagai pentadbir penting dalam kerajaan Brunei.Selain itu, mereka juga merasa bimbang terhadap golongan terpelajar ini akan bangun menentang untuk membebaskan Brunei daripada cengkaman penjajah British seperti mana yang terjadi di negeri-negeri nusantara iaitu Filipina dan Indonesia.

SEKOLAH CINA

Kewujudan sekolah cina di negara ini hampir selari dengan penubuhan sekolah- sekolah Melayu. Sekolah Cina pertama didirikan di Bandar Brunei pada tahun 1916 dan menjelang tahun 1926 sebuah lagi sekolah persendirian Cina dibina di Kuala Belait.

Kedua-dua sekolah ini dibukakan kepada pelajar lelaki dan perempuan. Sementara itu pada tahun yang sama juga, sebuah lagi didirikan di Labi, Belait tetapi setahun berikutnya terpaksa ditutup. Manaka pada 1932, sekolah Cina di Bandar Brunei menerima pertambahan pelajar seramai 44 orang lelaki dan 18 orang perempuan.

Manakala sekolah Cina di Belait pula bertambah kepada 42 orang pelajar lelaki dan 11 orang pelajar perempuan. Menjelang tahun 1937 sebuah lagi sekolah Cina didirikan di Kuala Belait dan setahun berikutnya sebuah lagi di Seria.

Ini menjadikan jumlah pelajar di sekolah-sekolah Cina semakin bertambah walaupun kewujudan sekolah-sekolah Cina di negara ini adalah atas usaha bersama masyarakat itu sendiri tanpa adanya banyak bantuan dari pihak kerajaan seperti yang diberikan kepada sekolah-sekolah Melayu.

Sehingga pada tahun 1967 hanya terdapat lapan buah Sekolah Cina sahaja. Walau bagaimanapun sekolah-sekolah Cina mempunyai kurikulum yang berlainan dari sekolah-sekolah kerajaan.

SEKOLAH INGGERIS

Dasar perkembangan  sekolah Inggeris  boleh dikatakan lambat kerana hanya pada tahun 1930 sahaja baharulah sekolah itu dapat diwujudkan di Kuala Belait oleh British Malayan Petroleum Company ( BPMC ).

Pada tahun 1931 sekolah Inggeris dikelolakan oleh Mr.Synott ( seorang paderi Kristian di Kuala Belait) dangan keramaian pelajar 21 orang iaitu lelaki dan perempuan. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah Perdagangan ( School Trade ) bertujuan untuk melatih orang Brunei bagi kerja-kerja di padang minyak.

Kemudian diikuti pula pada tahun 1933, Roman Catholic Mission telah membuka sekolah Inggeris kedua di Brunei dengan keramaian penuntut 29 lelaki dan 8 pelajar perempuan.

Menjelang 1938 sebuah lagi dibuka di Bandar Brunei . Setelah meletusnya Perang Dunia Kedua, didapati sebanyak tiga buah sekolah Inggeris yang telah dibuka dengan jumlah penuntut seramai 142 lelaki dan 34 perempuan.

Perhatian British terhadap pelajaran aliran Melayu agak sederhana, tetapi satu keberuntungan besar kepada perkembangan pendidikan di Brunei ketika itu, ialah langkah pihak  British memperkenalkan pelajaran bahasa Inggeris  sebagai salah satu mata pelajaran dalam tahun 1951 dan seterusnya penubuhan sekolah aliran Inggeris persediaan dan menengah.

Kerana langkah ini secara tidak langsung telah memberi peluang anak Brunei yang  pintar dan bijak menyambung pelajaran mereka di United Kingdom, Singapura dan Malaya.

SITUASI PENDIDIKAN SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA.

Pendudukan Jepun selama tiga setengah tahun di Brunei  membawa kepada satu keadaan yang menyebabkan perkembangan  pendidikan terbantut. Dalam sistem pendidikan ketika itu, pehak Jepun mahukan bahasa mereka digunakan ( Hussainmiya B.A., 1995 : 33).

Hal ini sedikit sebanyak menggangu kelancaran sistem pendidikan yang telah diwujudkan. Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, keadaan sekolah-sekolah di Brunei amat mendukacitakan. Di antaranya ada yang rosak akibat dibom dan juga kerana ditinggalkan.

Di atas kesukaran ini pihak kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk memulakan satu rancangan lima tahun pada 1946. Rancangan ini diperuntukkan bagi memperbaiki dan membina semula sekolah-sekolah baru.

Menjelang tahun 1947, terdapat sebanyak 24 buah sekolah Melayu di Brunei berada dibawah pengawasan Jabatan Pelajaran. Manakala pada tahun berikutnya dengan bilangan sekolah yang sama jumlah pelajar meningkat kepada 2,029 orang ( 1,653 pelajar lelaki dan 376 perempuan). Seterusnya pada tahun 1950 dengan bilangan sekolah yang meningkat maka keramaian pelajar sudah setentunya juga turut meningkat kepada 2,255 orang. ( sila lihat lampiran 1 )

Setelah baginda Sultan Omar Ali Saifuddin menaiki takhta keadaan ini dapat diimbangi dengan mengambil beberapa inisiatif. Sebagai seorang sultan yang mempunyai cita-cita bagi masa depan rakyatnya.

Baginda awal-awal lagi sudah sedar bahawa betapa pentingnya pendidikan bagi pertumbuhan masyarakat berkualiti.Baginda tahu bahawa satu-satu cara untuk mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat adalah melalui peningkatan taraf pendidikan rakyat. (Muhd. Hadi Abdullah, 1991 : 30)

Pada tahun 1950, peruntukan untuk pembelajaran juga bertambah hingga empat kali ganda iaitu dari $ 56,018.00 pada tahun 1947 ke $201,041.00 pada tahun 1950.

Pada tahun 1954 diadakan pengenalan Rancangan kemajuan Pendidikan. Ini merupakan satu titik peralihan yang amat penting dalam kemajuan sisitem pendidikan Brunei amnya dan persekolahan Melayu Khasnya.

Dengan perancangan ini jumlah pelajar sekolah Melayu semakin bertambah. Pada tahun 1956 sebuah Maktab perguruan pertama siap dibina di Berakas dengan 21 orang guru pelatih.

Menjelang tahun 1959 sebanyak 52 buah sekolah Rendah Melayu telah wujud di Brunei dengan jumlah pelajar seramai 3,459 orang ( termasuk 1944 lelaki dan 1515 perempuan). Manakala sekolah Inggeris pula sebanyak 10 buah dengan pelajar keseluruhan seramai 3,583 orang. ( sila lihat lampiran 2 )

 

 

 

 

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN 1954

Walaupun dasar pendidikan sebelum tahun 1954 tidak dikeluarkan dengan rasminya, tetapi ia boleh dikesan menerusi apa yang sedang berlaku pada waktu itu. jelasnya, dasar pendidikan khususnya bagi sekolah Melayu hanyalah untuk membolehkan anak-anak Melayu pandai membaca dan menulis dalam tulisan jawi dan rumi sebagaimana yang telah disebutkan tadi. Oleh itu pelajar yang lulus di Sekolah Melayu cuma layak untuk menjadi guru sekolah Melayu,  budak pejabat, petani, nelayan dan sebagainya.

Selain itu, ia bukan bertujuan untuk melahirkan tenaga manusia, berkemahiran yang dikehendaki oleh pembangunan negara dan dasar ini serupa dengan yang ada di Tanah Melayu. Sementara itu sekolah misi dan sekolah Cina beroperasi dengan menggunakan sistem pendidikan  dan kurikulumnya sendiri. Manakala Pendidikan Ugama cuma diajarkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah-sekolah Melayu.

Menurut pendapat kebanyakan sarjana,  Brunei mempunyai dasar pendidikan yang rasmi dan jelas apabila Jabatan Pelajaran membentuk dasar pendidikan pada tahun 1954.

Kemunculan Dasar Pendidikan 1954 ini boleh dikatakan berpunca daripada desakan orang ramai dan pertubuhan sukarela yang mahukan satu corak pendidikan yang lebih baik dan teratur untuk dilaksanakan di Brunei. ( lihat lampiran 3 )

Persekutuan guru-guru Melayu di Brunei pernah menyuarakan kepada kerajaan melalui surat yang bertarikh 24 November 1953, supaya dasar pendidikan yang ada dirombak dan diganti dengan yang baru. Dasar baru ini hendaklah berlandaskan dasar pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sekolah-sekolah Brunei.

Pada ketika itu kerajaan telah melancarkan Rancangan  Kemajuan Negara yang pertama ( 1953 -1958 ) sebagai satu rancangan yang menyeluruh, maka perkembangan pendidikan tidak terkecuali dalam rancangan ini.

Kerajaan ingin mengetahui mengenai apa yang berlaku terhadap persekolahan Brunei daripada pihak Jabatan Pelajaran supaya dapat diselaraskan dengan Rancangan Kemajuan Negara tersebut. Oleh sebab itu Jabatan tersebut menjelaskan mengenai dasar pendidikan Brunei dengan mengeluarkan Dasar Pendidikan 1954.

Sultan Omar Ali Saifuddin III telah menaiki takhta pada Jun 1950. Baginda mengganti kekanda Baginda yang telah lindung di Singapura pada Jun 1950.

Belum pun setahun baginda menaiki takhta Kerajaan, sebuah Sekolah Inggeris telah didirikan di Bandar Brunei. Sehubungan dengan itu baginda bukanlah bertujuan untuk mengetepikan peranan penting Sekolah Melayu.

Ini adalah satu langkah memperkuat dan mempercepat proses kelahiran satu golongan elit yang berpendidikan Barat yang boleh dijadikan penggerak jentera awal pada tahun 1951.

Di Bandar Brunei didirikan sebuah sekolah Menengah Inggeris Kerajaan ( Government Secondary English School ) yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar.

Kelompok pertama yang bernasib baik memasuki sekolah elit ini ialah murid-murid yang terpilih dimasukkan ke darjah peralihan selama dua tahun sebelum memasuki darjah biasa, yakni dalam Tingkatan 1 berumur di antara dua belas tahun hingga empat belas tahun.

Mengikut dasar pendidikan baru ini, pengambilan murid dikhaskan kepada mereka yang telah menjalani pendidikan asas selama empat tahun di Sekolah Melayu atau sekolah Cina.

Seorang murid akan belajar selama 13 tahun dari peringkat asas hingga ke peringkat menengah atau sebelum memasuki universiti ataupun hingga murid itu belajar enam tahun lagi.

Pada umumnya, Dasar Pendidikan 1954 adalah dasar yang diselaraskan dengan Rancangan Kemajuan Negara. Oleh itu, kerajaan akan menyediakan pendidikan percuma kepada semua anak-anak Melayu bermula daripada umur enam tahun. Mereka belajar di sekolah Melayu, Inggeris dan vokasional.

Menurut Laporan Aminuddin Baki dan Paul Chang, Dasar Pendidikan 1954 sebagai dasar terapung ( drifting ) kerana hanya menyesuaikan dengan keadaan semasa dengan tidak ada matlamat atau dasar yang tegas berhubung dengan peranan pendidikan dan persekolahan. Oleh yang demikian pendidikan di Brunei pada masa itu kurang berkembang dan tidak tentu hala ( Aminudin B. & Paul Chang,  1959 , :2 )

Dari dasar ini ternyata sistem pendidikan Brunei telah dibahagikan kepada tiga bahasa pengantar iaitu Bahasa Melayu bagi sekolah Melayu, sekolah Inggeris Kerajaan dan sekolah misi  menggunakan bahasa Inggeris, dan bahasa Cina pula  untuk sekolah Cina.

Ketiga-tiga persekolahan  ini telah diperjelaskan di dalam essai  ini tadi. Sehubungan dengan itu, ini bermakna dasar tersebut tidak menuju ke arah perpaduan masyarakat Brunei yang berlainan bangsa dan ugama.

Justeru tidak disatukan di bawah satu dasar pendidikan yang sama. Oleh yang demikian, sudah  jelas bahawa dalam Dasar Pendidikan 1954 ini, bahasa Melayu tidak menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Brunei.

DASAR PERKEMBANGAN PENDIDIKAN 1962

Dasar pendidikan 1954 menjadi perbincangan  isu hangat dalam Majlis Masyuarat Negeri, ini kerana melalui rancangan kemajuan negara, perkembangan pendidikan perlu diambil perhatian ke arah pembangunan negara, lebih-lebih lagi selepas perlembagaan negara 1959.

Pada  tahun 1962, salah seorang ahli majlis yang mewakili Parti Pembangkang ( Pertai Rakyat Brunei) ketika itu mengusulkan supaya Kerajaan mengadakan satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang tidak dipengaruhi oleh dasar-dasar luar negeri. Syor ini telah mendapat tentangan daripada  wakil  Kerajaan kerana dikatakan membebankan kerajaan.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan sebenarnya telah merancang untuk mengadakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang baru. Ini menunjukkan cadangan daripada ahli Parti Pembangkang itu mendapat perhatian daripada Kerajaan. Di samping faktor desakan orang ramai yang menyebabkan kemunculan Dasar Pendidikan Negara 1962 .( lihat lampiran 4 )

Dalam persidangan Majlis Mesyuarat Negeri pada tahun 1960, di mana majlis telah memutuskan supaya Brunei mencapai kemerdekaan pada tahun 1965. Sementara itu Parti pembangkang mahu kemerdekaan itu diadakan lebih awal iaitu pada tahun 1963.

Jadi sebagai persediaan menyambut kemerdekaan ini, Brunei sudah pasti memerlukan tenaga tempatan yang berpendidikan tinggi untuk menerajui pentadbiran Kerajaan.

Dasar Pendidikan Negara 1962 boleh dikatakan dasar pelajaran pertama yang paling jelas kandungan dan tujuannya berbanding dengan Dasar Pendidikan  1954. Di antara perkara terbaru dalam dasar ini ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam persekolahan  Brunei.

Ia juga cuba menyatukan sekolah-sekolah yang berlainan aliran bukan saja menjadi satu aliran bukan saja menjadi satu aliran, bahkan cuba menyatukan sistem dan kurikulumnya.

 

Dasar ini juga mahukan supaya peluang pelajaran diberikan kepada semua lapisan rakyat Brunei, tidak seperti Dasar Pendidikan 1954 yang cuma menghadkan kepada anak-anak Melayu.  Justeru itu dalam Dasar Pendidikan ini, ia menjadi iklan dan penyampaian maklumat untuk melahirkan satu generasi yang taat kepada dan negara.

Ini kerana Allahyarhan Sultan Omar Ali Saifuddin III  pernah menyarankan kepada guru-guru ketika dalam titah baginda pada 14 Mei 1959 :

… saya sukacita hendak mengingatkan cikgu-cikgu dan guru-guru sekalian, iaitu dan saya berharap hendaklah guru-guru atau cikgu-cikgu selain daripada mengajar anak-anak dengan pelajaran-pelajarannya di bangku sekolah, juga hendaklah mengadakan didikan dan menggalakkan anak-anak atau murid-murid itu dengan semangat yang tingi tentang mengasihi tanah airnya, kaum keluarganya dan bangsanya, serta taat setia kepada pemerintah Kerajaan negerinya juga …

Keseluruhannya, Dasar Pendidikan 1962 adalam salah satu sumbangan besar kepada pendidikan dari segi penentuan haluan dan corak pendidikan. Pada ketika itu, struktur pentadbiran Jabatan Pelajaran diubahsuai dalam tahun 1964.

Justeru dalam tahun 1966, sekolah menengah aliran Melayu diperkenalkan sebagai langkah mengemaskini pentadbiran dan pengurusan termasuk memantapkan peluang dari segi menambah bilangan jawatan dan status perjawatan.

 

 

 

 

 

 

 

PERKEMBANGAN DASAR PENDIDIKAN 1972

Selepas 10 tahun dasar Pendidikan Negara 1962 dijalankan, beberapa perkembangan bermula dari perlantikan sebuah Suruhanjaya Pelajaran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Suruhanjaya Pelajaran diarahkan untuk menilai kemajuan , meneliti dan menyiasat perkembangan pendidikan di Brunei bagi faedah membentuk satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang lengkap dan sesuai dengan cita-cita, kepentingan dan perkembangan ekonomi serta kedudukan rakyat Brunei.

Selain itu Suruhanjaya ini juga bertanggungjawab untuk mengkaji punca kegagalan perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara 1962. Maka hasil kajian Suruhanjaya Pelajaran akan membentuk satu lagi dasar pendidikan yang baru pada tahun 1972.

Pada asasnya, kandungan Dasar Pendidikan 1972 tidak jauh bezanya dengan Dasar Pendidikan Negara 1962. ( sila lihat lampiran 5 ) Dalam kedua-dua dasar tersebut mempunyai persamaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang utama di sekolah-sekolah di Brunei, menyatukan sistem pendidikan mengisi keperluan tenaga manusia, dan melahirkan generasi yang taat kepada Sultan dan negara.

Walau bagaimanapun, Dasar Pendidikan  1972 juga menonjolkan kepentingan  pendidikan Islam dalam sistem persekolahan di Brunei. Aspek ini tidak disentuh oleh Dasar Pendidikan Negara 1962,mungkin pembuat dasar ini menganggap pendidikan ugama ialah tugas Jabatan Hal Ehwal Ugama ( yang telah diperjelaskan tadi ).

Sementara itu adanya penekanan pendidikan Islam dalam Dasar Pendidikan 1972 disebabkan ada antara ahli yang bertanggungjawab membuat dasar ini iaitu pegawai-pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Ugama.

Kesimpulan daripada kedua-daa dasar ini, Dasar pendidikan 1962 dan 1972 tidak dapat dilaksanakan dan dijalankan dengan sepunuhnya hingga para sarjana banyak mengatakan bahawa kedua-dua dasar ini menemui kegagalan. Adapun kegagalan dasar-dasar pendidikan ini akan diperjelaskan lagi seterusnya nanti melalui beberapa aspek kegagalan.

KEGAGALAN DASAR PENDIDIKAN NEGARA 1962 DAN DASAR PENDIDIKAN 1972

Kerajaan  Brunei dalam berusaha memperkembangkan pendidikan di Brunei yang  sentiasa menitik beratkan perkembangan pendidikan sehingga terbentuknya Dasar Pendidikan 1962 dan Dasar Pendidikan 1972. Walau bagaimanapun dasar-dasar tadi sebahagian daripada kandungan dan matlamat kedua-dua dasar tersebut telah gagal dilaksanakan.

Dasar Pendidikan Negara 1962 dan Dasar Pendidikan 1972 telah gagal dilaksanakan diantaranya ialah kerana :

§    Sikap Kerajaan yang tidak tegas dalam memainkan peranan dalam kegagalan perlaksannan Dasar Pendidikan Negara 1962. Kalau Dasar Pendidikan 1962 dan Dasar Pendidikan 1972 kerana kerajaan  tidak bersikap tegas maka kedua bolehlah dianggap gagal. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Laporan Suruhanjaya Pelajaran Brunei 1972 bahawa :

Kegagalan ini adalah disebabkan oleh kelemahan-kelemahan dalam melaksanakan tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat yang disebutkan di atas, dengan lain perkataan, oleh sebab kelemahan yang terdapat pada badan kerja atau badan pelaksana, iaitu pentadbir Jabatan Pelajaran sendiri. Mereka tidak mempunyai perancangan tertentu untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Negara 1962.

§    Akibat dari perkembangan pembangunan negara yang pesat dan tertubuhnya berbagai jabatan dan syarikat swasta pada 1960-an dan 1970-an. Kesan dari perkembangan pembangunan ini, keperluan kakitangan yang pandai berbahasa Inggeris semakin bertambah. Dalam pada itu, keperluan kepada kekitangan Kerajaan mahir berbahasa Inggeris  semakin menyerlah. Oleh itu, kegagalan ini berpunca kerana matlamat Dasar Pendidikan 1962 dan Dasar Pendidikan 1972 bahawa taraf kedudukan  Bahasa Melayu yang menjadi  pengantar di semua peringkat  persekolahan di negeri ini sebagaimana yang tersebut dalam perlembagaan.

§       Sistem pendidikan Brunei sepenuhnya masih bergantung kepada luar negeri seperti United Kingdom, Singapura dan Malaysia. Brunei ketika itu bergantung meliputi keperluan guru, kurikulum, buku teks, peperiksaan dan pengajian tinggi. Akibatnya, perubahan perhubungan dan pendidikan dengan negeri-negeri yang terlibat akan memberi kesan kepada dasar pendidikan Brunei.

§       Kekurangan pegawai dan guru-guru yang berkemahiran juga boleh dikatakan menjadi punca Dasar Pendidikan tadi tidak berjaya dilaksanakan dalam sistem pendidikan Brunei. Ini kerana rata-rata pegawainya tidak berkelulusan dan dinaikkan pangkat bukan kerana kebolehan tetapi disebabkan senioriti mereka.

§       Kegagalan menyatukan sekolah Cina dan misi di bawah satu dasar pendidikan bersama-sama dengan sekolah-sekolah Kerajaan. Kegagalan ini disebabkan Kerajaan, kurikulum bersepadu, buku teks, peperiksaan dan lain aspek yang boleh dijadikan landasan oleh semua sekolah dalam memenuhi kehendak Dasar Pendidikan 1962. Walau bagaimanapun, di bawah Dasar Pendidikan 1972, sekolah-sekolah misi, swasta dan Cina telah berjaya disatukan dengan sekolah-sekolah  Kerajaan di bawah satu kurikilum dan peperiksaan pada tahun 1974.

§       Dasar Pendidikan Negara 1962 digagalkan oleh peristiwa pemberontakan dan penolakan Brunei memasuki Malaysia, maka peristiwa yang hampir sama juga berlaku terhadap kegagalan Dasar Pendidikan 1972. Ketika Dasar Pendidikan 1972 hendak dilancarkan hubungan Malaysia dan Brunei tidak selari. Oleh itu Brunei amat memerlukan bantuan Malaysia dalam melaksanakan Dasar Pendidikan 1972  tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

§      Kegagalan dari segi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di sekolah-sekolah adalah disebabkan sikap masyarakat Brunei memandang rendah terhadap pendidikan aliran Melayu. Kebanyakan ibu bapa lebih suka menyekolahkan anak-anak mereka ke sekolah beraliran Inggeris.

 

DASAR PENDIDIKAN DWI BAHASA

Daripada kegagalan yang telah diperjelaskan tadi, Kerajaan perlu mencari satu lagi dasar pendidikan baru yang bersesuaian dengan keperluan perkembangan dan perubahan sosial, politik dan ekonomi Brunei, lebih-lebih lagi saat-saat Brunei sudah mencapai kemerdekaan.

Oleh yang demikian, kerajaan secara rasmi mengisytiharkan satu lagi dasar pendidikan baru pada 9 April 1984. Dasar ini dikenalai sebagai Dasar Pendidikan Konsep Dwibahasa. ( Pelita Brunei, 1984 : 16 )

Secara umum matlamat utama Dasar Pendidikan Dwibahasa (yang akan diperjelaskan nanti) tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah dikemukakan dalam Dasar Pendidikan 1972. Umpamanya penyatuan sistem pendidikan dari segi kurikulum peperiksaan dan penerapan nilai-nilai Islam.

Walau bagaimanapun, perbezaan yang paling ketara pada dasar ini dengan Dasar Pendidikan 1972 ialah penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Brunei.

Penekanan bahasa Inggeris ini dilakukan bagi membolehkan pelajar Brunei melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi yang kebanyakannya boleh didapati dalam bahasa Inggeris.

Dengan adanya Dasar Pendidikan Dwibahasa, maka rancangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah tidak dapat dicapai matlamatnya.

Matlamat Dasar Pendidikan  dan Konsep Dwibahasa ialah:

  1. Melaksanakan matlamat-matlamat dasar pendidikan seperti yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Pelajaran Brunei 1972 dengan beberapa pindaan berdasarkan kepada perkembangan terbaharu.

 

2.                  Melaksanakan satu sistem pendidikan yang dinamakan Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam yang tidak berlainan sebagai media pengantar di persekolahannya.

3.                  Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam ini akan membentuk masyarakat Negara Brunei yang berdasarkan kepada konsep Melayu Islam Beraja.

4.                  Sistem ini juga akan menjadi saluran menyatupadukan rakyat dan pendudukan negara ini melalui satu sistem pendidikan sahaja.

5.                  Nilai-nilai Islam akan diterapkan ke dalam Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam melalui kurikulum sekolah.

Konsep Dwibahasa

Adapun  konsep Dwibahasa bagi menyalaraskan dan melaksanakan Dasar Pendidikan ini diantaranya:

  1. Satu cara bagi mendaulatkan bahasa Melayu di samping tidak mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris dengan yang demikian kemahiran dalam kedua-dua bahasa tersebut akan dicapai dalam Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam.
  2. Perkiraan bahasa Inggeris dibat semata-mata dengan maksud akademik jua, iaitu bagi memudahkan pelajar-pelajar Brunei memasuki tempat-tempat pengajian tinggi di luar negara yang mempunyai pengantar bahasa Inggeris. Perkiraan ini sudah  tentu akan menemui perubahan lain jika Brunei berkemampuan secara sendiri memenuhi keperluan pengajian tinggi yang dinyatakan itu.
  3. Perlaksanaan konsep Dwibahasa ini dari segi mata-mata pelajaran adalah dibuat seperti berikut:

I )  Mata-mata pelajaran yang tidak begitu rapat hubungannya dengan kebanyakan pengajian tinggi di luar negara akan disampaikan dalam bahasa Melayu.

II )  Mata-mata pelajaran yang banyak  bergantng kepada penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajian tinggi di luar negara akan disampaikan dalam bahasa Inggeris.

4.         Secara berperingkat-peringkat dan menurut keupayaan konsep dwibahasa akan dilaksanakan sepenuhnya dalam Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam. Bahkan jika berkemampuan pada masa-masa hanya menggunakan bahasa  Melayu dan bahasa Inggeris sahaja, boleh jadi lain-lain bahasa asing yang difikirkan sangat berguna akan diambil kira. Walau bagaimanapun, dalam apa keadaan sekalipun kedudukan bahasa Melayu akan terus dipelihara sebagai mata pelajaran yang mesti wujud, berkembang dan dikuasai oleh semua pelajar.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

KESIMPULAN

Dalam essei ini telah menjelaskan tentang pendidikan yang berkembang semenjak dari Dasar pendidikan yang tidak formal dan formal. Dalam perlaksanaan pendidikan formal di Brunei, sekolah yang mula ditubuhkan ialah sekolah Melayu.

Selepas itu diikuti pula oleh kemunculan sekolah-sekolah Cina, Misi, Inggeris Kerajaan, ugama dan vokasional. Sungguhpun pendidikan formal telah bermula pada tahun 1914, ternyata Kerajaan yang dikuasai oleh British tidak pernah mengeluarkan dasar pendidikan yang rasmi dan jelas.

Perkara ini berlarutan sehingga tahun 1954. Dasar Pendidikan dalam jangka masa 40 tahun ( 1914- 1954 ) Cuma boleh diketahui menerusi perlakuan dan tendakan yang dibuat oleh Kerajaan terhadap sekolah-sekolah yang sedia ada.Walau bagaimanapun penjelasan tertumpu kepada perkembangan dasar pendidikan daripada tahun 1954 hingga tahun  1984.

Adapun penjelasan di awal pendidikan semenjak zaman pentadbiran Residen adalah untuk mengungkap serba sedikit tahap perkembangan yang  telah dilaksanakan sehingga membentuk Dasar Pendidikan 1954, Dasar Pendidikan 1962, Dasar Pendidikan 1972 dan terakhir sekali Dasar Pendidikan Dwibahasa.

Bertolak daripada penjelasan diatas ternyata sebelum tahun 1954, Brunei tidak mempunyai dasar pendidikan yang jelas. Menjelang tahun 1954 barulah Kerajaan mengeluarkan bentuk dasar pendidikan yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, dasar ini bukanlah sesuatu yang baru, bahkan ia merupakan penjelasan kepada dasar yang sudah dijalankan sejak kemunculan sekolah Melayu pada tahun 1914. Dasar ini telah menerangkan bahawa sistem pendidikan Brunei masih diimplementasikan dalam aliran yang berlainan.

Sekolah Melayu ternyata masih tertinggal berbanding dengan sekolah-sekolah lain dalam dasar ini kerana pada tahun 1950-an hingga awal tahun 1960-an sekolah Melayu cuma mempunyai sistem pendidikan rendah.

Selepas Dasar Pendidikan 1954, muncul pula Dasar Pendidikan Negara 1962 dan Dasar Pendidikan 1972, namun matlamat kedua-dua dasar ini tidak berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Kerajaan hanya boleh dikatakan berjaya melaksanakan Dasar Pendidikan 1972 dengan mengadakan penyatuan kurikulum dan sistem peperiksaan bagi semua sekolah, mengadakan mata pelajaran ugama di sekolah-sekolah dan menubuhkan sekolah vokasional.

Kegagalan kedua-dua dasar tersebut berlaku kerana dalam merangka dasar pendidikan, Kerajaan perlu menimbang supaya dasar yang akan diwujudkan mestilah selaras dengan keperluan negeri dan perubahan politik dan sosial negara agar ia lebih banyak mendatangkan kebaikan kepada semua lapisan masyarakat. Pada realitinya baik bahasa Melayu maupun Inggeris, kedua-duanya adalah penting.

Bahasa Melayu penting kerana ia merupakan bahasa rasmi dan majoriti penduduk Brunei adalah berbangsa Melayu. Sementara bahasa Ingggeris dari segi meninggikan taraf pendidikan masyarakat Brunei lantaran tenaga mereka diperlukan untuk mengisikan berbagai bidang dalam sektor kerajaan dan swasta. Dengan itu bolehlah dikatakan dasar pendidikan dalam berbagai aliran seperti yang terkandung dalam Dasar Pendidikan 1954 terus berjalan sehingga menjelang tahun 1980-an.

Maka atas pertimbangan dan alasan kepentingannya akan bahasa Inggeris dalam dasar pendidikan, maka akhirnya terpaksa mengambil keputusan untuk mengadakan Dasar Pendidikan Konsep Dwibahasa pada tahun 1984 yang dijadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sungguhpun pada asasnya bahasa Melayu memang wajar diangkat sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di Brunei, namun bahasa ini tidak akan dipandang sebagai bahasa terpenting  selagi peluang untuk menggunakannya dalam dunia pekerjaan, pembangunan, perdagangan, perindustrian dan teknologi tidak menggalakkan.

Akhirnya, dalam masa 1954 hingga tahun 1984, jelas Kerajaan Brunei amat mengambil berat terhadap perkembangan pendidikan. Dasar ini tidak terhenti begitu sahaja, bahkan, masih lagi mengalami perubahan hingga ke hari ini,seperti S.P.N 21. Perkembangan Dasar Pendidikan yang ada pada ketika 1954-1984  dapat juga membawa negara Brunei mencapai kemerdekaan dan hampir 100 % jawatan yang mengendalikan pentadbiran negara dijawat oleh anak tempatan negara ini sendiri.

LAMPIRAN 1

PERANGKAAN KERAMAIAN MURID DAN BANYAK SEKOLAH RENDAH MELAYU SELURUH NEGERI BRUNEI 1954-1984 (Annual Report,1954-1984 )

LAMPIRAN 2

PERANGKAAN  KERAMAIAN  MURID DAN  SEKOLAH  RENDAH  INGGERIS SELURUH  NEGERI  BRUNEI 1954-1984(Annual Report,1954-1984 )

 

LAMPIRAN 3

Dasar Pendidikan 1954 mempunyai matlamat berikut :

  1. Kerajaan menyediakan pelajaran percuma bagi semua kanak-kanak Melayu ( di sekolah rendah Melayu ) yang berumur 14 tahun. Pada peringkat ini mereka akan menduduki bangku sekolah selama enam tahun di sekolah rendah.

2.                  Bahasa pengantar adalah bahasa Melayu. Bahasa Inggeris akan diajarkan dalam Darjah III hingga Darjah VI. Jadual pengajaran diteruskan seperti yang ada sekarang dengan mata pelajaran perkebunan dan kraf tangan terus diberi keutamaan. Sementara itu pusat latihan urusan rumah tangga, pertukanan kayu dan besi akan diadakan di sekolah-seklah kawasan bandar.

3.                  Murid-murid dari sekolah rendah Melayu yang terpilih memasuki sekolah Inggeris Kerajaan akan diajarkan bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran.

4.                  Kerajaan menyediakan sekolah menengah bawah Inggeris ( Tingkatan I – Tingkatan III ) percuma. Mereka yang berjaya dalam peringkat ini akan dibenarkan meneruskan pelajaran ke peringkat menengah atas dan seterusnya untuk melanjutkan pelajaran di universiti di seberang laut.

5.                  Memberikan latihan pertukangan dan teknikal di Sekolah Pertukangan Syarikat Minyak Shell Brunei.

6.                  Memberikan bantuan kewangan kepada sekolah Cina dan misi.

7.                  Menyediakan kemudahan pelajaran dewasa bagi membanteras buta huruf dan pelajaran bahasa Inggeris.

8.                  Menyediakan makanan dan minuman percuma di sekolah-sekolah.

9.                  Mengadakan pemeriksaan kesihatan kepada murid-murid sekolah.

 

 

LAMPIRAN 4

Matlamat Dasar Pendidikan Negara 1962 ialah:

  1. Untuk memberikan pelajaran kepada semua rakyat negeri ini bagi melengkapkan diri mereka supata menjadi:
    1. Pekerja yang sempurna mengikut asas-asas kehendak kecenderungan masing-masing dan berfaedah bagi megeri ini mengikut yang dikehendaki oleh megeri ini.
    2. Ibu bapa yang sempurna yang bertanggungjawab kepada bangsa dan negerinya dan taat setia kepada Sultan dan negeri ini.
  2. Untuk mengusahakan supaya pelajaran menengah dan tinggi dapat disediakan dan bahasa Melayu menjadi pengantar di semua peringkat persekolahan dalam negeri ini dan mempunyai taraf dan mutu yang tinggi.
  3. Untuk menyesuaikan kedudukan taraf bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi negeri ini sebagaimana yang tersebut dalam perlembagaan.
  4. Untuk menggalakkan kandungan pelajaran yang setara, bahasa yang sekata, peluang-peluang yang sama,semangat yang bersegahaman di kalangan rakyat negeri ini untuk menumpukan taat setianya yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan dan negera.

 

 

 

 

 

 

 

LAMPIRAN 5

Dasar Pendidikan 1972 mempunyai matlamat berikut:

  1. Untuk menjadikan secepat mungkin bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan sesuai dengan kehendak perlembagaan.
  2. Untuk meninggikan ukuran penggunaan bahasa Inggeris dalam sekolah-sekolah rendah dan menengah di megeri ini.
  3. Untuk lebih menitik beratkan pendidikan ugama Islam sesuai dengan perlembagaan negeri ini yang menjadikan Islam sebagai ugama rasmi.
  4. Untuk menyediakan pendidikan selama sembilan tahun yang sesuai dengan kehendak negera terus-menerus kepada semua kanak-kanak Brunei ; enam tahun di sekolah rendah dan tega tahun di sekolah menengah bawah.
  5. Untuk memastikan dengan menyedikan iktisar mata pelajaran yang isinya serupa yang setaraf pelajaran di semua sekolah adalah sebanding.
  6. Untuk melanjutkan pendidikan menengah dapat dicapai oleh semua orang berdasarkan kepada kehendak-kehendak dan kebolehan mereka.
  7. Untuk memberikan kepada semua kanak-kanak Brunei segala kemungkinan peluang dimi menjadikan diri mereka berguna kepada perkembangan negeri bagi memengi segala kehendak-kehendak yang diperlukan oleh negeri supaya semua kehendak-kehendak itu dipenuhi oleh rakyat Brunei sendiri.
  8. Untuk menimbulkan melalui saluran-saluran di atas, suatu identiti kebangsaan sebagai tapak pertumbuhan rasa taat setia kepada Brunei dan juga membangun kedekapan dan sefat melentur di dalam sistem pendidikan untuk memenuhi kehendak-kehendak pembangunan negeri ini.

 

LAMPIRAN 6
Perkembangan Pendidikan di Brunei Darussalam

1912 Sebuah Sekolah Melayu ditubuhkan di Bandar Brunei yang menampung 53 orang murid.
1916 Sebuah Sekolah Cina ditubuhkan oleh Komuniti Cina.
1930 Sekolah-sekolah melayu mula dibukakan kepada murid-murid perempuan.
1931 Sekolah Bahasa Inggeris pertama mula ditubuhkan (Anglican (SPG) Mission School).
1942 Di zaman pemerintahan Jepun telah menyumbangkan kepada penurunan perkembangan dalam pembelajaran.
1951 Tahun ini mereupakan satu titik-tolak kepada perkembangan sistem pendidikan moden di Brunei Darussalam apabila Kementerian Pendidikan mula ditubuhkan.
1956 Sebuah Pusat Guru-Guru Terlatih yang pertama dibukakan.
1959 Satu gagasan dalam pembelajaran yang digelar ‘Aminuddin Baki-Paul Chang Commision’ telah ditubuhkan. Kedua pegawai ini adalah dari Kerajaan Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur telah membuat laporan mengenai pendidikan di Brunei.
1962 Kerajaan telah menerima laporan pendidikan yang digelar 1962 Education Report.
1966 Sebuah Sekolah Menengah yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan mula ditubuhkan.
1970 KDYMM telah melantik satu badan penasihat dalam pendidikan, yang digelar sebagai The Education Commission, yang telah diberi kepercayaan(dipertanggungjawabkan) untuk mendalami pelan pendidikan dan progres serta memberikan usulan (cadangan) kepada perancangan untuk menaik-tarafkan status pendidikan di negara ini.
1972 The 1972 Education Report telah diluluskan.
1974

1974

Pengaplikasian dalam struktur pendidikan di Jabatan Pendidikan telah dibuat mengikut cadangan (gagasan) yang telah dibuat dalam 1972 Report iaitu:

1) Badan Pendidikan (Education Council)

2) Pemantauan  (Inspectorate)

3) Badan Peperiksaan (Examination Board)

1976 Badan Peperiksaan mendaftarkan dalam dan luar Peperiksaan Awam (Public Examination contohnya BGCE ‘O’ dan ‘A’ levels, dan peperiksaan BJCE); seorang Pegawai Pendidikan Kanan (Senior Education Officer) telah dilantik sebagai Pengarah Pendidikan.
1980 Tiga bahagian dalam pengurusan struktur baru telah ditubuhkan di Jabatan Pendidikan bersama dengan perlantikan tiga Penolong Pengarah Pendidikan iaitu:

1) Pengurusan dan Servis (Administration and Services)

2) Perancangan dan Perkembangan Pendidikan (Planning dan Development of Education)

3) Sekolah-Sekolah dan Maktab-Maktab (Schools and Colleges).

1982 KDYMM melantik satu Badan Penasihat (Advisory Board) yang diberi kuasa untuk mengkaji masalah pendidikan di negara ini.
1983 Jabatan Pendidikan berpindah ke pusat baru (headquarters) di Lapangan terbang Lama Berakas.
1984 Menteri Pendidikan dan Kesihatan telah ditubuhkan serta merta selepas kemerdekaan penuh diterima pada 1hb Januari, dan Jabatan Pendidikan di bawah menteri ini; empat lagi bahagian baru telah ditubuhkan di bawah pengurusan struktur di Jabatan Pendidikan ada seperti berikut:

Jabatan Kurikulum

Aktibiti Luar Kurikulum

Sekolah Menengah Dan Maktab

Pertubuhan (Publication)

1985 Satu sistem dwibahasa dalam pendidikan telah dilancarkan secara rasmi; Maktab Perguruan Sultan Hassanal Bolkiah telah dinaik-tarafkan sebagai Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah; Sekolah Teknik Sultan Saiful Rijal just dinaik-tarafkan sebagai Maktab Terknik Sultan Saiful Rijal; Universiti Brunei Darussalam telah ditubuhkan.

Perkembangan Pendidikan di Brunei Darussalam

BIBLIOGRAFI

Aminudin B. & Paul Chang,  1959, Laporan Penyata bulanan Negeri Brunei.

Bevington, 1983, Penyata Pembangunan Negeri Brunei 1953-1958, B/6469/1983,SUK 240/52, Education Policy For Brunei.

Hj Abd. Ghani Hj.Bujang , 1999 ,  Masa Silam Saran Masa Depan : Kumpulan Kertas Kerja Seminar Sejarah Brunei II, Jabatan Pusat Sejarah, Kementerian Belia dan Sukan, Brunei Darussalam.

Hj Jamil Al Sufri Dr., 1999, , Masa Silam Serana Masa Depan : Kumpulan Kertas Kerja Seminar Sejarah Brunei II, Jabatan Pusat Sejarah, Kementerian Belia dan Sukan, Brunei Darussalam.

Hj Zaini Hj Ahmad Dr. , 2003, Brunei Merdeka : sejarah dan budaya politik,De’Imas Printing & Trading Company, Brunei.

Hussainmiya B.A., 1995, Sultan Omar Ali Saifuddin III and Britain : the making of Brunei Darussalam, Oxford University Press, Kuala Lumpur.

Laporan Suruhanjaya Pelajaran (1972), Jabatan Setiausaha kerajaan, Percetakan Asia, Brunei

Muhd. Hadi Abdullah, 1991,  Sultan Omar Ali Saifuddin : raja yang berjiwa rakyat, Beriga Jan-Mac / bil: 30, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Brunei Darussalam.

Pelita Brunei, 1984, ( Minggu Kerajaan Brunei ), Brunei

Pg Hj Mohammad bin Pg. Hj Abd Rahman, Dr., 2005, Islam Di Brunei Darussalam, Bandar Seri Begawan; Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Razali Hj Ahmad, 1999, Masa Silam Saran Masa Depan : Kumpulan Kertas Kerja Seminar Sejarah Brunei II, Jabatan Pusat Sejarah, Kementerian Belia dan Sukan, Brunei Darussalam.

Sabihah Osman dan rakan-rakan, 1995, Sejarah Brunei Menjelang Kemerdekaan, Dewan Bahasa Dan Pustaka; Kuala Lumpur.

Sidhu Jatswan S., 1995, Sejarah Sosioekonomi Brunei 1906-1956, Dewan Bahasa Dan Pustaka; Kuala Lumpur.

State of Brunei Annual Report 1950 – 1984